KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan pusat menentukan nasib Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor selepas beliau menghadiri taklimat hala tuju bersama bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dibuang daripada parti itu.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, tindakan itu secara jelas melanggar arahan dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melarang penglibatan wakil rakyat, pemimpin serta ahli-ahli parti itu untuk bersama dalam program tersebut.
“Ternyata beberapa ahli Bersatu Kelantan termasuk Khlir telah melanggar arahan itu dan saya sendiri tidak dapat mengagak apa tindakan yang bakal diambil oleh pimpinan Pusat selepas ini.
“Dalam kes Khlir, semua radar ada. Bukan kita (Bersatu Kelantan) sahaja tetapi Pusat juga ada radar mereka. Jadi beliau sewajarnya menjangka ada tindakan bakal diambil terhadapnya,” katanya selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Pemain Industri Pelancongan dan Penggiat Seni Tahun 2026, di sini.
Khlir adalah salah seorang wakil rakyat Bersatu yang menghadiri taklimat hala tuju Hamzah selepas dipecat keahlian, selain Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Ahli Parlimen Beluran) dan Ketua Sri Kandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Ahli Parlimen Masjid Tanah).
Kamarudin berkata, setakat ini beliau belum berjumpa malah tidak ada perancangan untuk bersemuka dengan Khlir bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya itu.
“Saya tidak terfikir pun untuk jumpa beliau (Khlir). Kalau perkara belum dilakukan adalah sebab (untuk berjumpa). Kalau sudah buat, kita nak kata apa?” katanya. – UTUSAN










