RAUB: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Raub dan Lipis menjadi dua bahagian paling awal dibubar di Pahang selepas pimpinan dan ahli jawatankuasanya keluar parti kerana mendakwa matlamat perjuangan sudah menyimpang dengan prinsip serta integriti.
Ketua Bersatu Bahagian Raub, Datuk Fakrunizam Ibrahim berkata, barisan pimpinan dan ahli dua bahagian itu memutuskan keluar parti selepas menilai pelbagai isu yang disifatkan bercanggah prinsip perjuangan mereka.
“Keputusan ini dibuat demi menjaga akidah, akhlak dan integriti. Parti politik hanyalah platform, namun prinsip perjuangan dan nilai moral mesti kekal konsisten. Kami tidak mahu mengulangi kesilapan kepimpinan terdahulu dalam beberapa parti lain seperti UMNO, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas,” katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Lipis, Nor Alias Ibrahim berkata, majoriti pimpinan dan cawangan di bahagian itu menyokong keputusan keluar parti selepas membuat tinjauan ramai dan perbincangan dalam kalangan ahli akar umbi.
“Berasaskan prinsip dan integriti, keseluruhan pimpinan dan cawangan mahu perjuangan selepas ini terus berteraskan nilai agama, integriti dan moral yang selari dengan pegangan masyarakat Melayu dan Islam. Langkah ini juga mampu memperkukuh semula organisasi serta menyusun strategi baharu bagi menghadapi landskap politik semasa yang semakin mencabar,” katanya.
Di Pahang sehingga kini, Bersatu Raub dan Lipis merintis pembubaran tersebut manakala Cameron Highlands, Bentong, Bera, Kuala Krau, Pekan, Rompin, Temerloh dan Indera Mahkota difahamkan akan menyusul pada minggu depan, manakala Jerantut, Paya Besar, Maran dan Kuantan belum menyatakan pendirian. – UTUSAN










