PUTRAJAYA: Sektor informal termasuk peniaga dalam talian, penjaja kecil, pengusaha inap desa, pekerja gig serta pertubuhan bukan berasaskan keuntungan akan direkod secara rasmi menerusi Banci Ekonomi 2026 (BE2026).
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan tiada segmen ekonomi rakyat tercicir daripada sistem statistik negara.
Menurut beliau, landskap ekonomi Malaysia telah berubah dengan ketara susulan perkembangan pendigitalan dan kemunculan model perniagaan baharu yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada premis fizikal atau struktur organisasi formal.
“Jika kita mahu dasar yang tepat, kita perlukan data yang tepat. Banci ini bukan sekadar mencatat ekonomi yang kita ada, tetapi memetakan ekonomi yang sedang kita lakar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran BE2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini aktiviti ekonomi tidak formal sukar diukur secara menyeluruh kerana kebanyakannya tidak berdaftar atau beroperasi secara kecil-kecilan, sedangkan sumbangannya kepada pendapatan isi rumah dan rantaian bekalan tempatan amat signifikan.
Pelaksanaan BE2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bermula 5 Januari lalu sehingga 31 Oktober ini dan meliputi semua pertubuhan berdaftar serta tidak berdaftar di seluruh negara dan setakat ini, sebanyak 416,942 pertubuhan mikro berjaya dibanci melalui pelaksanaan fasa awal operasi banci.
Tambah beliau, data yang dikumpulkan akan membantu kerajaan memahami peranan ekonomi mikro dan komuniti secara lebih mendalam, sekali gus membolehkan dasar pemerkasaan ekonomi, bantuan bersasar serta perancangan pembangunan dirangka dengan lebih berkesan.
Akmal berkata, dalam suasana ekonomi global yang semakin kompleks dan mencabar, ketersediaan data yang tepat, menyeluruh dan bertepatan masa menjadi elemen penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi kekal inklusif serta berdaya tahan. – UTUSAN










