PETALING JAYA: Bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi, pelakon, Eyka Farhana menyifatkan perjalanan hidupnya sejak tahun lalu merupakan aturan terindah dari Sang Pencipta.
Menerusi sebuah hantaran di Threads, Eyka turut meluahkan rasa syukur dengan kebahagiaan yang dimilikinya kini apatah lagi dikurniakan rezeki untuk menimang zuriat sebagai penyeri hidup.
“Alhamdulillah syukur, 2025 hingga 2026 datang dengan begitu indah yang tak pernah saya bayangkan.
“Dalam semua rezeki dan kebahagiaan yang Allah beri, satu nikmat paling besar sedang saya rasakan sekarang, Allah hadiahkan saya harta dunia dan akhirat. Di dalam rahim ini, satu nyawa kecil sedang membesar,” katanya.
Bagai memberi bayangan sudah memilih nama untuk cahaya matanya, Eyka yang menggelarkan bayinya dengan panggilan ‘Baby L’ itu berharap kandungannya sentiasa sihat dan dilindungi.
“Baby L, awak anugerah terbesar buat saya. Semoga anak ini membesar dengan sihat, dilindungi Allah setiap saat.
“Mohon doakan semoga perjalanan ini dipermudahkan dan segalanya berjalan dengan lancar,” kongsinya.
Sabtu lalu, Eyka mengumumkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata sulungnya namun, tidak mendedahkan secara terperinci mengenai usia kandungannya yang terkini.
Untuk info, Eyka telah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Akhyar Rashid pada 2 Mei 2025.










