KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa mengugut ketua-ketua bahagian yang hadir ke taklimat hala tuju politik bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.
Perkara itu didedahkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang juga wakil Ahli Parlimen parti yang memihak kepada Hamzah.
Beliau mendakwa, Mohamed Azmin mengeluarkan surat semalam sebagai usaha untuk menghalang ahli Bersatu bersolidariti untuk Ahli Parlimen Larut itu yang dipecat serta-merta semalam.
“Semalam kita dinotiskan oleh Setiausaha Agung, notis ugutan untuk diambil tindakan tegas termasuk pemecatan jika hadir pada perjumpaan hari ini.
“Saya ingin maklumkan (pada beliau) terdapat 19 Ahli Parlimen yang bersama-sama dengan kita pada hari ini,” katanya berucap di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini hari ini.
Antara yang hadir ialah Ketua Srikandi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
Turut hadir, Datuk Khlir Mohd. Nor (Ketereh); Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof.
Taklimat itu juga dihadiri oleh Ketua-Ketua Bahagian Bersatu dari seluruh negara termasuk Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Kepala Batas), Badrul Hisham Shaharin (Port Dickson) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (Alor Gajah).
Ronald turut menyifatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sedang bernostalgia dengan zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri yang merasakan berjaya memimpin negara melalui pandemik Covid-19.
“Kempen ‘abah’ sudah tidak laku untuk kempen pilihan raya kita,” katanya. – UTUSAN









