Arsenal mara ke final Piala Liga

Arsenal mara ke final Piala Liga

PEMAIN Arsenal meraikan kejayaan mereka mara ke pentas akhir Piala Liga selepas menewaskan Chelsea agregat 4-2 di laman sendiri semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal mara ke final Piala Liga buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun selepas menewaskan Chelsea 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Emirates semalam, sekali gus mencatat kemenangan agregat 4-2.

Gol tunggal perlawanan disempurnakan oleh pemain gantian, Kai Havertz apabila mudah menyudahkan peluang ke gawang kosong pada masa kecederaan.

Kejayaan tersebut menamatkan badi Arsenal yang sebelum ini tewas dalam empat separuh akhir terakhir mereka melibatkan Liga Juara-Juara dan Piala Liga 2025, Piala Liga 2022 serta Liga Europa 2021.

Ini juga merupakan penampilan final pertama The Gunners sejak enam tahun lalu, dengan mereka bakal berdepan Manchester City atau Newcastle United di Wembley pada 22 Mac ini.

City kini berada di hadapan dengan kelebihan 2-0 menjelang perlawanan separuh akhir kedua di Etihad awal pagi esok.

Arsenal kali terakhir menjulang Piala Liga pada 1993 dan tewas dalam tiga final terakhir kejohanan tersebut.

Trofi domestik terakhir yang dimenangi kelab London itu adalah Piala FA 2020, yang juga merupakan satu-satunya kejuaraan diraih di bawah kendalian Mikel Arteta sejak dilantik pada Disember 2019.

“Kami tahu perlawanan ini akan menjadi satu ujian besar. Pasukan menunjukkan ketahanan dan kefahaman yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan. Suasana di stadium sangat luar biasa dan memberi kelebihan besar kepada kami,” kata Arteta.

Walaupun beraksi tanpa kapten Martin Odegaard yang mengalami kecederaan otot serta Bukayo Saka yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, Arsenal tetap berjaya mengawal perlawanan dengan disiplin tinggi.

Chelsea yang dikendalikan Liam Rosenior cuba menyekat permainan tuan rumah dengan formasi tiga pertahanan, namun gagal memanfaatkan peluang yang dihasilkan biarpun menguasai perlawanan pada babak kedua.

“Kami beraksi dengan baik dalam beberapa fasa permainan, tetapi gagal mencipta detik berkualiti untuk menjaringkan gol. Ia satu kekalahan yang perit, namun kami akan terus memperbaiki pasukan,” kata Rosenior. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN