PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae, atas kemenangan besar Parti Demokratik Liberal (LDP) dalam pilihan raya umum negara itu.
Beliau berkata, mandat yang diperoleh mencerminkan keyakinan rakyat Jepun terhadap visi Takaichi bagi pembaharuan ekonomi negara serta keupayaannya menyuntik semangat kepada generasi pengundi baharu.
“Perdana Menteri Takaichi telah berada di Malaysia sempena sidang kemuncak ASEAN pada Oktober 2025, hanya beberapa hari selepas mengangkat sumpah jawatan.
“Beliau menunjukkan komitmen serta keterlibatan yang tinggi terhadap isu-isu yang penting kepada kedua-dua negara, termasuk daya tahan ekonomi, peralihan hijau dan keselamatan maritim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia komited untuk meneruskan momentum kerjasama dalam keutamaan-keutamaan tersebut dan memperkukuh hubungan dalam bidang-bidang penting yang lain.
“Beliau pernah menyatakan bahawa akan ‘bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja’ demi Jepun.
“Saya menantikan kerjasama yang sama erat dan bersungguh-sungguh bersama Perdana Menteri Takaichi bagi membawa Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun ke tahap yang lebih tinggi,” katanya – UTUSAN










