GEORGE TOWN : Seorang ibu kepada anggota tentera yang meninggal dunia semasa sedang mengikuti latihan di Pahang, beberapa hari lalu meminta supaya orang ramai tidak membuat spekulasi sendiri dan mengaitkan kejadian itu dengan kes buli.
S. Usha, 52, berkata, dia sendiri pada mulanya turut menganggap anaknya, Truper K. Indiran, 22, itu menjadi mangsa buli, namun, berubah fikiran selepas menerima keputusan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak hospital.
Jelas Usha, hasil bedah siasat mendapati, tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan pada tubuh mendiang anaknya, sekali gus menepis spekulasi bahawa anak sulung daripada empat beradik itu dicederakan atau dipukul.
“Mula-mula memang saya marah apabila dapat tahu perkara ini kerana saya tak dihubungi lebih awal oleh pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Saya juga dapat info ‘viral’ (tular) sana sini mengatakan bahawa anak saya dibuli.
“Semua itu tidak betul. Jangan salahkan ATM. Indiran tidak dibuli, dipukul atau dicederakan sesiapa. Jasad anak saya masih sempurna dan fizikal dia jugak masih elok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Nibong di sini, awal pagi tadi.
Indiran sebelum itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa sedang mengikuti kursus ketenteraan di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, Rabu lalu.
Jasad mendiang Indiran kemudian dibawa pulang ke Pulau Pinang selepas bedah siasat dan dijangka diberi istiadat penghormatan penuh tentera tengah hari nanti sebelum disemadikan bersebelahan kubur bapanya di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang di sini, pada sebelah petang.
Dalam pada itu, Usha berkata, anaknya itu begitu bersemangat untuk menjalani latihan ketenteraan kerana ingin mengikut jejak mendiang bapanya, Mejar C. Kayamboo iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban akibat nahas pesawat di Pangkalan Udara Butterworth, kira-kira 10 tahun yang lalu.
Kata Usha, dia kini trauma selepas berdepan dua tragedi besar dalam hidupnya dan berbelah bahagi sekiranya ada anak-anaknya yang lain mahu menyertai pasukan keselamatan atau anggota unit beruniform kerana enggan tragedi yang sama terus berulang.-UTUSAN










