PETALING JAYA: Pelakon, Diana Daniella mengesahkan anaknya, Muhammad telah menjalani pemeriksaan di sebuah hospital di ibu negara akibat lumpuh di bahagian muka selepas mengalami demam.
Diana menerusi Instagram memaklumkan doktor mengesyaki keadaan Muhammad itu berpunca daripada sindrom Guillain-Barre atau Palsi Bell.
“Doktor mengesyaki Muhammad mengalami sindrom Guillain-Barre atau Palsi Bell. Dia secara tiba-tiba mengalami lumpuh bahagian muka selepas diserang demam virus.
“Pakar neurologi, ENT dan pasukan perubatan telah melakukan pemeriksaan keatasnya. Mereka memberikan pandangan masing-masing.
“Pasukan perubatan telah memberi suntikan steroid steroid kepada Muhammad dan dia akan menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnet (MRI),” kongsinya.
Diana dalam masa yang sama memaklumkan yang Muhammad telah dibenarkan pulang dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada keadaan tersebut.
“Mohon doakan agar keadaannya bertambah baik. Bulan Januari cukup mencabar buat kami, tapi kami bersyukur kerana dapat pulang ke rumah. Ketika ini tumpuan kami adalah untuk pemulihan saraf muka Muhammad.
“Muhammad perlu terus melakukan latihan kerana dia berdepan masalah untuk menyebut beberapa perkataan,” kongsinya lagi.-UTUSAN










