KUALA LUMPUR: Pesona dan bakat semula jadi yang dimiliki anak bongsu pelakon popular, Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana, 12, rupa-rupanya bukan sahaja mencuri perhatian peminat tempatan, malah turut ‘dilirik’ penggiat seni Indonesia.
Mendedahkan perkara itu, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, anaknya itu pernah menerima tawaran untuk melebarkan sayap sebagai penyanyi di republik berkenaan, namun dia terpaksa menolak permintaan tersebut buat masa ini.
“Ada pihak yang memberikan tawaran, malah Aaisyah juga pernah dilamar untuk menyanyi di Indonesia, tetapi kami tolak.
“Memang anak saya ini sangat minat menyanyi. Malah, saya sendiri pernah menghantarnya menghadiri kelas vokal bersama penyanyi, Mark Adam.
“Sebagai ibu bapa, apa yang dia minat, kami akan sokong,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas mengenai penglibatan Aaisyah dalam dunia penyiaran, Che Ta mengakui anaknya sangat selesa beraksi di hadapan kamera menerusi program terbaharu, Anak Mama Masak Apa Tu?.
Jelasnya, program yang bakal bersiaran di TV3 pada Ramadan ini merupakan penampilan sulung Aaisyah secara rasmi di kaca televisyen.
“Rupa-rupanya dia tidak malu di hadapan kamera. Sebelum ini saya sangka dia seorang yang pemalu, sebab itu saya tidak benarkan dia terlibat (dengan penggambaran). Namun, apabila muncul dalam program ini, dia kelihatan sangat seronok.
“Jadi, kalau dia suka, saya okay sahaja. Selagi ia tidak mengganggu jadual persekolahan dan hanya dilakukan pada waktu cuti sekolah, saya dan ayahnya tiada masalah,” katanya.
Bagaimanapun, tegas Che Ta meletakkan syarat ketat dan enggan membenarkan Aaisyah terlibat dalam penggambaran drama buat masa ini kerana bimbangkan kebajikan kanak-kanak di set lakonan.
“Kalau berlakon drama, memang tidaklah. Saya rasa komitmennya terlalu berat dan ada tekanan, misalnya perlu menangis dan sebagainya. Bagi saya, industri lakonan drama kadangkala kurang menjaga kebajikan kanak-kanak.
“Apabila tiba babak kita, kita kena buat walaupun sedang mengantuk atau penat. Saya akui dia ada bakat dan boleh mengikut arahan pengarah dengan baik, cuma berlakon drama itu agak berat buat kanak-kanak seusianya,” katanya. -UTUSAN










