PUTRAJAYA: Kumpulan aktivis meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang memegang jawatan pengurusan tertinggi di sebuah universiti awam di Melaka atas dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan serta rasuah.
Sekretariat Aktivis Pembela Tanah Air (Peta) Kebangsaan merangkap Pengerusi Peta Melaka, Mohd. Zamri Abu Bakar berkata, pihaknya tampil membuat laporan kepada SPRM hari ini selepas menerima dokumen dakwaan salah laku itu daripada beberapa sumber kira-kira sebulan lalu.
“Kami telah melakukan penelitian terhadap semua bahan yang diterima dan mengumpulkannya menjadi satu dokumen lengkap sebelum diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Melalui maklumat yang diperoleh sebelum ini pelbagai pihak telah mendapat data dan dokumen yang kami peroleh ini antaranya pihak SPRM sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.
Mohd. Zamri mendakwa, antara isu yang dibangkitkan dalam laporan kepada SPRM adalah termasuk pembayaran berulang kali kepada individu sama bagi pelbagai tujuan yang mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sama ada melalui baucar, invois atau tanpa invois lengkap.
Selain itu, katanya, terdapat dakwaan penggunaan dana universiti bagi pembayaran khidmat guaman luar yang dikaitkan dengan kepentingan peribadi, selain persoalan berhubung lantikan kontraktor secara sebut harga yang didakwa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pentadbiran tertinggi universiti.
“Turut menjadi persoalan adalah beberapa lantikan jawatan pentadbiran yang didakwa tidak memenuhi syarat skim perkhidmatan ditetapkan serta isu pengurusan dana melibatkan sebuah entiti berkaitan universiti yang dilaporkan mengalami kerugian walaupun menerima peruntukan besar.
“Kami juga menerima aduan berkaitan program pengajian sehingga peringkat doktor falsafah (PhD) yang didakwa diragui dari segi kualiti serta pengurusan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut membangkitkan isu pengurusan alam sekitar membabitkan pelepasan spesies ikan asing di kawasan tasik universiti yang didakwa dibuat tanpa kajian terperinci sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap ekosistem setempat.
Sehubungan itu, aktivis berkenaan menggesa SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap semua dakwaan yang dikemukakan demi memastikan integriti institusi pendidikan tinggi awam terus terpelihara. – UTUSAN










