ACLE: Jaringan tunggal Guilherme julang JDT benam Vissel Kobe

ACLE: Jaringan tunggal Guilherme julang JDT benam Vissel Kobe

MARCOS Guilherme meraikan jaringannya pada perlawanan menentang Vissel Kobe pada perlawanan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi luar biasa apabila menewaskan kelab gergasi Jepun, Vissel Kobe 1-0 bagi menempah slot ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Marcos Guilherme muncul wira JDT apabila jaringan tunggalnya pada separuh masa kedua membolehkan pasukan tuan rumah mengutip tiga mata penuh.

Kemenangan bermakna itu membolehkan Harimau Selatan memanjat ke posisi keenam selepas mengutip 11 mata daripad lapan perlawanan peringkat kumpulan Zon Timur.

Keputusan itu juga menyaksikan Vissel Kobe yang mengutip 16 mata terlepas posisi pendahulu kumpulan setelah dipintas kelab senegara, Machida Zelvia yang meraih kemenangan 3-2 mengalahkan Chengdu Rongcheng FC bagi mengutip mata keseluruhan 17 mata.

Ketika tekanan memuncak di kem Harimau Selatan, Guilherme berada di posisi tepat menjaringkan gol tunggal pada minit ke-77 sekali gus menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim bergema dengan jeritan lebih 30,000 penyokong.

Gerakan bermula apabila pemain gantian Jairo da Silva yang bertindak merampas bola daripada pemain lawan bingkas dan membuat umpanan kepada Guilherme yang tidak dikawal yang bijak menewaskan penjaga gol Vissel Kobe, Shuici Gonda Gonda bagi menghadiahkan kemenangan bermakna buat JDT.

Keputusan itu membolehkan JDT layak ke pusingan 16 terbaik ACLE, sebarang keputusan membabitkan Ulsan HD FC melawan Shanghai Port FC dan Gangwon FC melawan Melbourne City Sailor FC yang dijadualkan esok tidak menjejaskan peluang Harimau Selatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN