Able Global catat untung bersih tertinggi RM71.3 juta - Utusan Malaysia

Able Global catat untung bersih tertinggi RM71.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Able Global Berhad (AGB) menamatkan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan momentum pertumbuhan mampan, merekodkan keuntungan tertinggi dalam sejarah kumpulan meskipun dalam landskap makroekonomi yang mencabar.

Bagi tahun penuh 2025, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan meningkat 3.3 peratus kepada RM71.30 juta berbanding RM68.99 juta pada tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, AGB merekodkan hasil sebanyak RM192.77 juta, meningkat 4.3 peratus berbanding RM184.80 juta pada tempoh sama tahun sebelum.

Segmen makanan dan minuman (F&B) terus menjadi penyumbang utama hasil iaitu sebanyak RM162.52 juta (84.3 peratus), diikuti pembuatan tin (RM23.36 juta) dan pembangunan hartanah (RM6.88 juta).

Pengurusan AGB berkata, pertumbuhan mampan tersebut disokong oleh prestasi kukuh segmen pembuatan tin dan F&B yang mendapat manfaat daripada permintaan global yang berdaya tahan terhadap produk tenusu.

“Usahasama kami di Mexico, Able Dairies Mexico SAPI de CV, terus menunjukkan prestasi baik dengan sumbangan keuntungan sebanyak RM2.19 juta pada suku keempat, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sebanyak RM7.56 juta.

“Kami kini sedang aktif meneroka peluang di bawah Perjanjian Amerika yarikat-Mexico-Kanada (USMCA) yang membolehkan perdagangan pertanian tanpa tarif untuk meluaskan lagi pasaran kami di Amerika Utara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut syarikat itu, walaupun perniagaan pembuatan tin berdepan persaingan sengit dan ketidaktentuan harga komoditi serta pertukaran wang asing, kumpulan kekal yakin terhadap kestabilan segmen tersebut melalui kecekapan operasi.

Dalam pada itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku keempat mencecah RM25.44 juta, meningkat 7.1 peratus daripada RM23.75 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Selaras dengan prestasi tersebut, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 2.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan tarikh pembayaran akan ditentukan kemudian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN