Abang maut, dua adik nazak selepas ibu beri Methadone - Utusan Malaysia

Abang maut, dua adik nazak selepas ibu beri Methadone

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi adiknya menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dipercayai diberi Methadone oleh ibu kandung mereka di Kajang dekat sini, pagi tadi.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), Methadone digunakan dalam Rawatan Terapi Gantian (RTG) untuk menggantikan opiat seperti heroin dan morfin di mana pemberian dos yang sesuai akan dapat mengurangkan ketagihan dan mencegah tanda-tanda pengunduran.

Methadone ialah dadah sintetik yang mempunyai kesan yang sama seperti heroin atau morfin tetapi tidak memberi kesan euforia.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru apabila ketiga-tiga beradik itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 11 tahun manakala dua adiknya berumur sembilan dan lima tahun kini dilaporkan kritikal.

Menurut sumber, polis menerima makluman kira-kira pukul 9.01 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN).

Sumber berkata, hospital menerima tiga pesakit kanak-kanak lelaki pada pukul 7.50 pagi.

“Anak sulung berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia manakala adik bongsu berusia lima tahun kini ditempatkan di ICU dan seorang lagi di Zon Merah Unit Kecemasan.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat tindakan ibu mereka yang berusia 35 tahun memberikan ubat jenis Methadone kepada ketiga-tiga anaknya,” katanya.

Sumber berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif wanita itu bertindak sedemikian dan bagaimana bekalan ubat terkawal itu diperoleh.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) buat masa ini sementara menunggu laporan bedah siasat.

“Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik HTPN untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN