PETALING JAYA: Pelakon, Mimi Lana memaklumkan abang kandungnya, Muhamad Sharul Affandy Zainal Abidin, telah kembali ke Rahmatullah pada Ahad.
Berita sedih tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Perempuan Itu menerusi satu hantaran menyayat hati di aplikasi Threads miliknya sebentar tadi.
Menurut Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 28, Allahyarham abangnya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Allah Maha Besar, Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Abang kandung saya, Muhamad Sharul Affandy Bin Zainal Abidin telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi pada pukul 12.30 tengah hari.
“Minta jasa orang ramai sedekahkan Al-Fatihah untuk abang saya. Adik sayang abang sangat,” tulisnya.
Dalam perkongsian yang sama, Mimi turut menitipkan doa agar segala dosa Allahyarham diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Ya Allah, Kau ampunkanlah segala dosa Muhamad Sharul Affandy, Kau tempatkanlah dia di syurga di kalangan orang-orang yang beriman.
“Kau permudahkanlah segala urusan dia di dunia dan akhirat,” titipnya lagi.
Lebih meruntun jiwa, Mimi turut memberi jaminan dan janji buat Allahyarham abangnya untuk menjaga kebajikan isteri serta anak-anak arwah, Sara dan Sulaiman, buat selama-lamanya.
“Tolong doakan isteri, anaknya dan seluruh keluarga diberi kekuatan di bulan yang mulia ini.
“Yana (Mimi) akan sentiasa ada untuk Sara dan Sulaiman sampai bila-bila. Yana janji,” luahnya. -UTUSAN










