35 peratus kebakaran ladang kelapa sawit di Simpang Renggam berjaya dikawal - Utusan Malaysia

35 peratus kebakaran ladang kelapa sawit di Simpang Renggam berjaya dikawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran seluas sembilan hektar melibatkan ladang kelapa sawit dan ladang nanas di Ladang Peninsular Plantation Sdn. Bhd., Simpang Renggam di sini telah berjaya dikawal setakat pukul 11.30 pagi tadi.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba II, Siti Hajar Sanusi berkata, kerja-kerja pemadaman kebakaran sedang dijalankan dengan kekuatan seramai 28 anggota bomba.

Menurutnya, usaha tersebut turut dibantu anggota pelbagai agensi termasuklah dari Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) serta pekerja ladang.

“Sebuah jentera beserta lima tangki air digunakan di lokasi dengan kerja pemadaman dibuat secara tompokan sejak kelmarin dan masih diteruskan sehingga hari ini. Selain itu sembilan unit pemadam api jenis GS Mark II telah dipasang dan beroperasi 24 jam.

“Manakala operasi pemadaman api secara fizikal akan diteruskan anggota bomba terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Siti Hajar, pihaknya bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuklah kekurangan sumber air di lokasi serta keadaan cuaca semasa.

“Kebakaran ini melibatkan tanah gambut di kawasan ladang nanas dan kelapa sawit dimana akses terhadap bekalan air adalah kurang, cuaca panas dan berangin juga menyukarkan operasi dijalankan.

“Anggota bertindak melakukan kaedah ‘fire break’ dimana ia telah siap digali pada jarak 350 meter daripada sasaran 500 meter, kita jangka ia akan siap dilaksana sepenuh hari ini,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Siti Hajar turut mengakui risiko kebakaran merebak masih wujud sekiranya keadaan kering berterusan.

Kebakaran tanah gambut di Simpang Renggam itu melibatkan kawasan ladang nanas seluas kira-kira 4.85 hektar manakala selebihnya adalah kawasan ladang sawit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN