JOHOR BAHRU: Kira-kira 30 rumah atas air dihuni komuniti Orang Asli di Jalan Dedaru 11, Kampung Teluk Jawa di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Subri Md. Isa berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.04 pagi.
Katanya, kebakaran melibatkan perkampungan atas air berstruktur sementara yang dibina menggunakan dinding kayu, lantai papan dan bumbung zink dengan keluasan dianggarkan 200 kali 200 kaki persegi.
Ujarnya, tiada mangsa cedera atau terkorban kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
“Seramai 28 anggota beserta tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Kebakaran yang berlaku turut menyebabkan kerosakan pada dua bot berenjin, sebuah kereta dan enam motosikal.
“Anggota menggunakan sumber air laut berhampiran dengan bantuan pam bagi memadam kebakaran,” katanya.
Mohd. Subri berkata, api berjaya dikawal pada pukul 7.41 pagi manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN










