MELAKA: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau serta ugutan jenayah menakutkan seorang wanita di sebuah pasar raya.
Tertuduh, Lim Toh Seng, 50, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan kepada seorang gadis dengan mengejarnya sambil membawa pisau.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam, 7 Februari 2026 di kawasan parkir kereta sebuah pusat membeli-belah dalam daerah Melaka Tengah.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik menawarkan jaminan RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 untuk ugutan jenayah.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Peguam Ishak Mohd. Kari memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing, selain bakal menyambut Tahun Baharu Cina minggu depan.
Tertuduh juga merupakan bapa tunggal yang menjaga anak berusia 11 tahun dan mendakwa kehilangan RM10,000 akibat ditipu seorang wanita warga Vietnam.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan memiliki pisau dan RM3,000 kerana melakukan ugutan jenayah dengan seorang penjamin. Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pelajar universiti dan adik perempuannya dikejar lelaki bersenjata pisau di kawasan parkir sebuah pasar raya.-UTUSAN










