3 pegawai tentera dituduh sebabkan kematian Syamsul Haris

3 pegawai tentera dituduh sebabkan kematian Syamsul Haris

TIGA pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas dakwaan bersama-sama menyebabkan kematian seorang pelatih Palapes UTM, Julai tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tiga pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Julai tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mejar Mohd. Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30, dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, dengan niat hendak menyebabkan bencana kepada tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya antara pukul 2 petang hingga 3 petang, 28 Julai lalu di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara.

Pendakwaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun tersebut [akta 574] kerana telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

Jika sabit kesalahan ketiga-tiga mereka boleh dipenjara sehingga tiga puluh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab. Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun Abdul Ghafar mencadangkan jumlah jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

“Atas arahan Jabatan Peguam Negara, kami syorkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Mohd Azmi yang berpendapatan RM9,000 sebulan menanggung seorang isteri dan tiga anak termasuk bayi yang baharu lahir tiga minggu lalu.

Muhammad Bahauddin pula menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia dua tahun dengan gaji RM4,000 sebulan, manakala Mohd Norbuangani berpendapatan RM3,000 sebulan menanggung seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam, serahan dokumen dan kehadiran peguam pemerhati pihak keluarga mangsa.

Sebaik prosiding selesai, Mohd Azmi tiba-tiba bersuara mewakili dua lagi tertuduh memohon jumlah jaminan RM25,000 itu dikurangkan atas alasan mereka sudah lama berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak pernah melakukan kesalahan disiplin sepanjang berkhidmat.

“Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun, kami tidak pernah dihadapkan ke mahkamah. Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami,” katanya.

Hakim Hayda Faridzal kemudian memberitahu tuduhan dihadapi semua tertuduh adalah tuduhan berat, namun akan meringankan syarat penjamin seramai dua orang.

Bagaimanapun, ia tidak dipersetujui semua tertuduh dan Mohd Azmi sekali lagi bersuara memberitahu tidak meminta kejadian yang berlaku itu (kematian mangsa), sebelum hakim memotong kata-katanya.

“Jangan, saya tak boleh dengar fakta kes lagi sekarang (peringkat ini),” katanya.

Mahkamah kemudian menurunkan jumlah jaminan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Pada 28 November tahun lalu, media tempatan melaporkan peguam, Datuk Naran Singh mendedahkan bahawa bedah siasat kali kedua yang dibuat terhadap jasad Syamsul Haris di Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematiannya disebabkan berlakunya kecederaan pada bahagian leher.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih Palapes itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasadnya dikeluarkan.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi di sini selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram di sini sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN