KUALA TERENGGANU: Sebanyak 21 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes membakar suar dan berarak di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, semalam didapati positif dadah.
Mereka ditahan berkait perbuatan mengganggu ketenteraman awam, memiliki bahan terlarang dan menghalang tugas penjawat awam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kejadian berlaku petang semalam apabila sekumpulan penyokong Selangor FC berarak bermula dari hadapan Mayang Mall melintasi Jambatan Angkat sebelum bergerak ke Seberang Takir, Muara Utara.
“Perarakan ini bukan sahaja menghalang laluan kenderaan awam malah melibatkan pembakaran suar yang berbahaya dan melanggar undang-undang.
“Keseluruhan rombongan melibatkan 10 buah bas dengan kira-kira 412 penumpang diiringi polis ke Ibu pejabat Polis Kontijen Terengganu bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Terengganu, hari ini.
Menurut Mohd, Khairi, polis menahan 33 lelaki tempatan berusia antara 17 tahun hingga 43 tahun atas pelbagai kesalahan selepas pemeriksaan dan ujian saringan awal air kencing ke atas semua pemandu serta penumpang bas.
“Daripada jumlah itu, seramai 21 individu didapati positif dadah jenis THC atau ganja dan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Menurut beliau, tiga lelaki turut ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram yang dipercayai untuk kegunaan sendiri dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi sama, sembilan individu ditahan kerana memiliki suar dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mengganggu tugas penjawat awam.
Katanya, sebanyak 70 batang suar pelbagai jenis dirampas bernilai kira-kira RM7,500 dengan 54 daripadanya sudah dibakar.
“Daripada keseluruhan tangkapan, enam daripadanya adalah penuntut institusi pengajian tinggi selain seorang pelajar sekolah menengah yang disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 sebelum diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Suspek kes memiliki dadah ditahan reman empat hari bermula sehingga 5 Februari ini manakala kes positif air kencing serta kes jenayah direman tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










