PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan mula menerima kemasukan 200 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai kakitangan baharu mereka dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejumlah jawatan itu sudah pun mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Idealnya kita harap suku tahun pertama ni kita dapat sempurnakan (pengambilan veteran ATM). Sama ada mereka ini bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat (TDM), mereka adalah aset yang unik yang akan membantu dari segi sumber manusia AKPS,” katanya. dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat kepada warga AKPS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau juga mahu satu unit perisikan diwujudkan di bawah AKPS bagi mengemudi peranan pengintipan operasi agensi itu.
“Kita sudah ada pelbagai elemen pengintipan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk ATM malah, semua agensi penguatkuasaan pun ada unit risikan masing-masing.
“Jadi kita ada dua pilihan, kalau kita tak wujudkan, kita akan bergantung sepenuhnya kepada elemen perisikan atau pengintipan daripada agensi lain, Kita berpeluang untuk mempunyai satu unit pengintipan dan perisikan yang sesuai dengan budaya kerja AKPS,” katanya.
Beliau akui ketika awal penubuhan AKPS, kementerian terlepas pandang unit risikan ini, namun kini ia penting dan perlu diwujudkan.
Jelasnya lagi, beliau memberi sepenuhnya kepada Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain membuat proses merekrut unit berkenaan sesuai dengan fungsi agensi itu. – UTUSAN










