PETALING JAYA: Persatuan Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (ANIFEST) bakal menganjurkan ZOOM KARTUN 2026, sebuah acara berskala komuniti yang menghimpunkan pengkarya seni kreatif dalam bidang komik, kartun dan animasi di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur, pada 31 Januari dan 1 Februari 2026.
Program itu dianjurkan sebagai platform inklusif yang meraikan kepelbagaian ekspresi seni visual merangkumi karya manual, digital serta teknologi kontemporari, sejajar dengan aspirasi integrasi seni kreatif dan pembangunan industri kreatif tempatan.
ZOOM KARTUN 2026 mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia. Antaranya ialah promosi dan jualan komik tempatan, pameran lukisan dan ilustrasi, demonstrasi percetakan 3D, aktiviti DIY figurin, karikatur secara langsung serta persembahan dan tayangan video animasi.
Kemuncak acara ialah Doodle Battle Visit Malaysia 2026, iaitu pertandingan lukisan secara langsung di atas pentas yang menghimpunkan artis kartun terpilih dan profesional. Pertandingan ini mengangkat tema warisan, identiti tempatan dan kreativiti visual bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
Menurut penganjur, pertandingan tersebut memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan secara dekat proses penciptaan karya seni secara langsung, sekali gus meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap seni komik dan kartun tempatan.
“ZOOM KARTUN 2026 adalah ruang untuk semua pelukis, kartunis, animator, kolektor, peminat dan keluarga. Kami mahu masyarakat melihat bagaimana seni komik dan kartun berkembang melalui integrasi idea, teknologi dan budaya,” katanya.
Katanya, penganjuran program itu selari dengan moto ANIFEST iaitu ‘Semuapun Kawan!’ yang menekankan semangat kebersamaan serta keterangkuman komuniti kreatif daripada pelbagai latar belakang dan medium seni.
Selain meraikan bakat tempatan, program itu turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem seni kreatif negara dengan menghubungkan seni komik dan kartun kepada elemen pendidikan, teknologi serta keusahawanan kreatif.
Orang ramai dijemput hadir bagi merasai sendiri pengalaman seni komik dan kartun dalam suasana santai, interaktif dan mesra keluarga. – UTUSAN










