KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba menawarkan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO kekal setia bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negara.
Malah katanya, UMNO akan terus bersama kerajaan sedia ada selagi asas kenegaraan dihormati dan tiada sebarang pengkhianatan berlaku.
“Memang ada tawaran terhidang, ada yang merisik, ada yang datang cuba meminang. Namun sehingga hari ini, UMNO tetap melaksanakan amanah negara dan menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Selagi asas negara dihormati, tiada yang dimungkiri, keikhlasan tidak dikhianati, UMNO akan memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab.
“Sekalipun ribut datang melanda, pokok mungkin condong ditiup angin, tetapi akarnya tetap mencengkam bumi. Jika ada bisikan iblis yang cuba memperlekehkan kesetiaan ini, jika kesabaran dianggap kelemahan dan cemuhan dihambur kepada UMNO, tindakan itu ibarat menyimbah api yang sedang marak,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini, hari ini.-UTUSAN










