KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menubuhkan Lembaga Durian Malaysia bagi memastikan industri itu mempunyai sebuah ekosistem yang telus dan adil.
Chow Yu Hui (PH-Raub) berkata, Lembaga Durian Malaysia boleh diberikan tanggungjawab untuk menetapkan standard pengedaran durian yang lebih seragam, meningkatkan ketulusan harga pasaran dan membela nasib pekebun.
Kata beliau, industri itu sedang berkembang menjadi industri bernilai tinggi sehingga menembusi pasaran antarabangsa tetapi manfaatnya tidak dinikmati sepenuhnya oleh pekebun kecil.
“Pekebun sering berada dalam kedudukan yang lemah dalam rantaian nilai industri durian. Harga di ladang ditentukan pemborong besar, bukan pekebun.
“Dalam banyak kes, buah Musang King gred A diturunkan kepada gred B, gred B kepada gred C, bukan kerana kualiti sebenar tapi kuasa tawar menawar yang tidak seimbang. Akibatnya, harga jatuh dan pekebun tiada mekanisme untuk mencabar penilaian itu.
“Keadaan ini menunjukkan masalah utama bukan pada keupayaan pekebun tetapi struktur pasaran yang tidak adil,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Yu Hui, berkata penubuhan Lembaga Durian Malaysia itu juga mampu memperkukuh kedudukan pekebun melalui koperasi, akses kepada pasaran yang lebih luas dan menyediakan mekanisme aduan bagi golongan itu.
Katanya, lembaga berkenaan juga boleh berperanan dalam penyelasaran isu hak guna tanah pekebun, melalui kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Ini bagi memastikan pekebun yang benar-benar mengusahakan tanah tidak terus terpinggir.
Kita tidak boleh membiarkan pekebun bekerja di atas tanah yang mereka sendiri tidak pasti masa depannya,” katanya. – UTUSAN










