PETALING JAYA: Warga asing di negara ini gagal membayar bil rawatan klinik dan hospital kerajaan bernilai RM102 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2023.
Jumlah itu bersamaan peruntukkan RM100 juta untuk menaik taraf wad hospital kerajaan seluruh negara seperti diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2026
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah tunggakan bil rawatan tahun lalu merekodkan RM30.57 juta, manakala RM33.46 juta pada 2024 dan 2023 pula merekodkan RM34.97 juta.
Katanya, meskipun tunggakan bayaran pada 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 8.64 peratus atau RM2.89 juta berbanding dua tahun lalu, namun ia masih membebankan perbelanjaan kesihatan awam.
“Misalnya pada 2025, pendatang asing tanpa izin (PATI) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM22.40 juta atau 73.30 peratus daripada nilai keseluruhan bil gagal dibayar.
“Jumlah ini menyumbang jumlah bayaran bil tertunggak iaitu masih sekitar RM30 juta walaupun terdapat penurunan RM2.89 juta berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kos rawatan warga asing di hospital kerajaan adalah lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia kerana mereka tidak layak menerima subsidi yang disediakan kerajaan.
Sebagai contoh, caj pesakit luar pakar dikenakan sebanyak RM120 manakala rakyat Malaysia hanya ditetapkan RM1 dan RM5 untuk rawatan pakar.
Dzulkefly berkata, pihaknya melaksanakan mekanisme pengurusan kutipan hasil dan pemantauan tunggakan bil perubatan bagi memastikan proses bayaran dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Katanya, antaranya mengenakan bayaran deposit terhadap warga asing sebelum mereka menjalani rawatan.
Selain itu, Dzulkefly berkata, pelaksanaan tindakan pemotongan akaun bank milik syarikat atau majikan yang gagal dalam menjelaskan tunggakan bil perubatan pekerja.
“Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan pihak kedutaan asing untuk tindakan penyelarasan bersama waris pesakit bagi pelunasan tunggakan bil warga negara mereka.
“Selain itu, kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan badan bukan Kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk membantu membiayai kos rawatan negara asing yang tidak mampu.
“Notis tuntutan bayaran juga dikeluarkan kepada individu, syarikat, NGO dan badan berkanun yang merekodkan tunggakan,” katanya.
Dzulkefly berkata, perlindungan kewangan pekerja asing juga diperketat melalui kerjasama Jabatan Imigresen bagi mewajibkan majikan mencarum Skim Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dalam proses permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Katanya, kementerian kini mempertingkatkan kerjasama antara agensi kerajaan dalam merangka strategi dan pelan tindakan berkaitan pengurusan pesakit warga asing khususnya PATI bagi menyelesaikan isu tunggakan bil perubatan.-UTUSAN










