NARATHIWAT (THAILAND): Warganegara asing yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan nyawa di Thailand tidak dibenarkan diikat jamin dan perlu berdepan proses undang-undang ketat mengikut peraturan negara ini.
Jurucakap Polis Trafik Wilayah 9 berkata, warga asing terikat dengan undang-undang sama seperti rakyat tempatan, selain tertakluk kepada peraturan tambahan yang melarang mereka dibebaskan sementara siasatan dan perbicaraan mahkamah berlangsung.
Katanya, individu terbabit perlu bermalam di lokap polis sepanjang siasatan dan boleh ditahan di penjara sehingga kes selesai dibicarakan.
“Di Thailand, warga asing tidak dibenarkan diikat jamin untuk pulang ke negara asal walaupun kesalahan masih dalam siasatan.
“Bagaimanapun, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan mereka pulang dengan syarat melaporkan diri di mana-mana balai polis di Thailand sebulan sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jurucakap itu berkata, semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan sama ada kereta, lori atau motosikal ditahan sebagai barang kes.
Katanya, pemandu terbabit berdepan hukuman berat sekiranya mahkamah mendapati kelalaian pemanduan menjadi punca kematian.
Ujarnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 291 Kanun Jenayah Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum 200,000 baht, atau kedua-duanya sekali, selain tuntutan pampasan sivil oleh keluarga mangsa.
Jumaat lalu, seorang warga emas tempatan, Prapol Damam, 75, maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta Honda yang dipandu seorang lelaki warga Malaysia berusia 36 tahun di Kampung Ban Ton Teen Ped, Mukim Ban Na, Phatthalung.
Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, mangsa maut di lokasi.
Rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain menunjukkan kereta Honda bernombor pendaftaran Malaysia terbabas ke laluan kiri sebelum merempuh mangsa yang berada di tepi jalan. – UTUSAN










