PUTRAJAYA: Rakyat Pahang diminta supaya tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu bersifat sekular serta mengabaikan kebajikan orang Melayu dan umat Islam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas, malah kehadiran wakil DAP dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri disifatkan lebih memudahkan urusan pentadbiran berbanding sebelum ini ketika bersama rakan komponen MCA.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional di Pahang tidak memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, jadi kerjasama dengan parti lain adalah satu keperluan demi memastikan kestabilan dan kelangsungan pentadbiran negeri,” katanya ketika merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di sini, hari ini.
Menurutnya, perpecahan dalam kalangan orang Melayu akibat perbezaan fahaman politik hanya merugikan bangsa itu sendiri sedangkan pihak lain meraih manfaat daripada perbalahan berkenaan.
“Orang kata ini UMDAP. Saya nak jelaskan, semasa tiada DAP dalam kerajaan negeri, bantuan penjawat awam hanya dibayar sebulan setengah gaji. Apabila mereka ada dalam EXCO dan saya cadangkan bayaran dua bulan gaji, satu ayat pun tidak dengar mereka membantah.
“Sepanjang tiga tahun ini, ada masanya urusan lebih mudah dengan mereka berbanding MCA. Kadang-kadang mereka beri pandangan yang baik berkaitan isu ketirisan, jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menegaskan semua pihak tidak seharusnya menjadikan isu politik sebagai alasan untuk memecah-belahkan perpaduan orang Melayu. – UTUSAN










