PETALING JAYA: V.S. Industry Berhad (VS), penyedia utama perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di Malaysia, memperuntukkan kira-kira RM50 juta perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2026 sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kecekapan operasi serta meningkatkan daya saing kumpulan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Pengarah Urusannya, Datuk S.Y. Gan berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan terutamanya bagi penyelenggaraan dan penaiktarafan mesin serta keupayaan pengeluaran sedia ada, sejajar dengan usaha berterusan kumpulan untuk mengoptimumkan proses, mengawal kos dan meningkatkan kadar penggunaan kapasiti.
“Dalam keadaan operasi yang terjejas oleh langkah tarif perdagangan, kumpulan mengambil pendekatan berhemat namun berpandangan jauh. Kami terus memberi tumpuan kepada amalan pembuatan cekap, penambahbaikan kecekapan operasi dan pengurusan kos yang berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, VS sedang giat meningkatkan pengeluaran besar-besaran bagi beberapa model baharu, selain menambah pelanggan baharu dengan pengeluaran dijadual bermula dalam masa terdekat, sekali gus dijangka menyokong peningkatan kadar penggunaan fasiliti kumpulan.
“Di peringkat serantau, prestasi operasi kilang VS di Filipina menunjukkan perkembangan positif apabila pengeluaran model kedua bagi seorang pelanggan telah dimulakan.
“Bagi memperkukuh kecekapan kos serta integrasi menegak, kumpulan secara berperingkat menambah keupayaan huluan termasuk pemasangan papan litar bercetak (PCB), melengkapi aktiviti pengacuan suntikan plastik sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif penambahbaikan rantaian nilai kumpulan terus mencatat kemajuan memberangsangkan, dengan beberapa proses dijangka meningkat secara berperingkat sejajar dengan peningkatan pengeluaran model tertentu.
“Bagi tahun kewangan berakhir 2025, VS mengagihkan jumlah dividen sebanyak 1.4 sen sesaham bernilai RM51.9 juta, termasuk pengagihan saham perbendaharaan bersamaan 0.6 sen sesaham atau RM21.0 juta.
“Jumlah itu mewakili nisbah pembayaran 141.3 peratus daripada keuntungan bersih FY25 berjumlah RM36.7 juta, melebihi dasar dividen kumpulan sebanyak 40 peratus,” katanya.
Meskipun mencatat prestasi lebih sederhana bagi tahun berakhir 2025, kedudukan kewangan VS kekal kukuh dengan pegangan tunai kasar sebanyak RM752.6 juta dan kedudukan tunai bersih, disokong oleh aset bersih sebanyak 56 sen sesaham setakat akhir Oktober 2025.
Tambahnya, kekuatan imbangan kira-kira serta kecairan yang sihat meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk menghadapi cabaran pasaran dan merebut peluang pertumbuhan pada 2026 dengan lembaga pengarah kekal berhati-hati optimis terhadap prestasi kewangan akan datang. –UTUSAN










