IPOH: Video tular yang memaparkan empat ekor harimau membaham seekor lembu di kawasan Ulu Kinta disahkan sebagai rakaman lama yang disunting semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak berkata, rakaman video yang tersebar sejak dua hari lalu itu telah dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak yang kemudian mengesahkan ia sebagai tidak benar.
“Saya menafikan dakwaan menerusi video yang mengatakan empat ekor harimau makan seekor lembu di kawasan ini. Ada yang kata kejadian itu berlaku di Changkat Kinding, tapi ada juga yang beritahu di Ulu Kuang.
“Saya telah berjumpa pegawai Perhilitan dan mereka sahkan bahawa video berkenaan palsu. Video itu adalah rakaman lama dan sudah bertahun-tahun namun disunting semula.
“Saya juga dimaklumkan kejadian itu berlaku di luar kawasan Tanjung Rambutan tetapi dikeluarkan semula dengan suntingan menunjukkan ia adalah video baharu bertarikh 16 Januari 2026,” katanya di sini hari ini.
Hamdan berkata, penyebaran maklumat tidak sahih itu amat dikesali kerana telah menimbulkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat khususnya penduduk di kawasan Tanjung Rambutan.
“Saya sarankan pihak luar supaya tidak menguar-uarkan perkara yang tidak sahih. Tindakan sebegini hanya menakut-nakutkan penduduk kampung.
“Bagi mereka yang tinggal di luar, mungkin ia dianggap gurauan, tetapi bagi kami yang ada dusun dan kebun serta bergantung kepada hutan untuk mencari rezeki, isu ini sangat membimbangkan,” katanya.
Dalam pada itu Hamdan tidak menafikan bahawa kawasan di sekitar Tanjung Rambutan khususnya di Ulu Kuang dan Changkat Kinding memang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kehadiran harimau.
Bagaimanapun katanya, pihak Perhilitan sentiasa menjalankan kawalan dan pemantauan rapi termasuk rondaan malam serta penggunaan dron bagi mengesan sebarang pergerakan hidupan liar.
“Setakat ini, tiada kehadiran harimau dikesan dan saya kira sudah hampir dua bulan tiada sebarang gangguan dilaporkan di kawasan ini,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 20 saat di media sosial yang memaparkan kehadiran empat ekor harimau termasuk dua bersaiz dewasa yang membaham seekor lembu. – UTUSAN









