PETALING JAYA: Seorang pegawai Unit VAT 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) meninggal dunia semasa menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah.
Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin telah diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Semporna.
Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk penilaian prosedur latihan, penggunaan peralatan, serta faktor kesihatan dan keselamatan mengikut tatacara operasi standard.
“Seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga Keluarga Allahyarham diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN









