KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan secara terbuka urus niaga membabitkan Sunway Group dan IJM Corp Berhad yang didakwa menimbulkan persoalan berhubung ketelusan proses serta implikasinya terhadap agenda ekonomi Bumiputera.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, urus niaga tersebut perlu diperincikan termasuk kaedah rundingan serta penglibatan pihak berkepentingan, khususnya Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Beliau mempersoalkan mengapa hanya Sunway ditawarkan dalam urusniaga berkenaan dan sama ada ia dibuat melalui proses pasaran terbuka atau rundingan tertutup.
“Di mana pemain-pemain lain dan di mana proses pasaran terbuka? Adakah ini rundingan tertutup atau rundingan siap pakej?
“Lebih membimbangkan bagaimana PNB mengetahui lebih awal mengenai urusniaga ini,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam
Menurutnya, sebagai dana amanah Bumiputera, sebarang pelaburan PNB seharusnya dilaksanakan secara jelas dan telus termasuk melibatkan pengawasan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia bertarikh 12 Januari lalu, Sunway mengumumkan penyerahan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.
Pembayaran tawaran tersebut melibatkan 10 peratus secara tunai, manakala baki 90 peratus akan dilunaskan melalui terbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham.
Tawaran itu tertakluk kepada syarat penerimaan lebih 50 peratus saham mengundi IJM sebelum tarikh tutup.
Sunway turut memaklumkan bahawa sekiranya IJM gagal memenuhi keperluan pegangan saham awam minimum 25 peratus seperti ditetapkan Bursa Malaysia Securities, syarikat itu tidak bercadang menampung kekurangan berkenaan dan mungkin memohon untuk menyahsenaraikan IJM.
Bagaimanapun, Sunway menyatakan hasrat untuk mengekalkan perniagaan sedia ada IJM serta mengoperasikannya sebagai anak syarikat berasingan di bawah Sunway Group.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mencadangkan supaya had umur persaraan Ketua Hakim Negara dinaikkan kepada 70 tahun berbanding 65 tahun ketika ini bagi membolehkan hakim berwibawa meneruskan perkhidmatan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak diberikan lanjutan perkhidmatan selepas mencapai usia persaraan, sedangkan lanjutan usia boleh diberikan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Beliau masih mampu berkhidmat dan ini dibuktikan melalui pelantikan sebagai Profesor Ikhtisas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di United Kingdom, had umur mencecah lebih 70 tahun. Mengapa Tun Tengku Maimun dinafikan lanjutan tahun lalu?” katanya. – UTUSAN










