Universiti awam perlu patuhi pekeliling kerajaan

Universiti awam perlu patuhi pekeliling kerajaan

DR. ZAMBRY Abdul Kadir berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Perdana PICC, Putrajaya hari ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tadbir urus universiti awam perlu diperkasakan selari dengan dasar serta pekeliling yang dikeluarkan kerajaan khususnya membabitkan arahan Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebagai badan berkanun, universiti awam tidak boleh mengabaikan pekeliling ditetapkan selain tertakluk kepada arahan dan dasar yang dikeluarkan kerajaan serta melaksanakannya secara berdisiplin.

“Saya harap daripada segi prestasi, kita akan melihat semula pekeliling-pekeliling yang ada, sebagai contoh pekeliling yang diberikan kepada universiti untuk dilaksanakan daripada MOF.

“Maka apabila arahan yang diberikan itu hendaklah kita laksanakan. Kalau kita kata universiti mempunyai hak untuk melaksanakan menggunakan pekeliling yang diberikan atau tidak, terpulanglah kepada kita, tidak boleh, sebab universiti-universiti itu adalah badan-badan berkanun. Jadi kita juga tertakluk kepada apa yang disebutkan, diarahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh usaha kerajaan memperkasa politeknik dan kolej komuniti agar setara dengan arus pembangunan pendidikan tinggi negara sekali gus menghapuskan persepsi bahawa institusi itu merupakan pendidikan kelas kedua.

Jelasnya, beliau juga telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan peluasan status premier politeknik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Selama ini bila kita bercakap tentang pendidikan tinggi, kita hanya terhala kepada universiti semata-mata. Sudah sampai masanya untuk kita berikan perhatian, melihat politeknik ini membangun dengan pembangunan pendidikan tinggi kita.

“Maknanya pendidikan di peringkat politeknik itu tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. saya telah pun bincang dengan Perdana Menteri supaya politeknik ini dilihat semula.

“Insya-Allah untuk 10 tahun akan datang ini, kita mengharapkan tidak kurang 10 politeknik akan diangkat menjadi politeknik premier yang boleh menawarkan program-program di peringkat ijazah, itu nanti biar lah Perdana Menteri yang umumkan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN