MELAKA: Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan menghormati sempadan masing-masing dengan tidak mencampuri urusan dalaman parti lain bagi mengelak tercetusnya polemik yang boleh menjejaskan keharmonian serta kestabilan politik negara dan negeri.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, isu yang tercetus kebelakangan ini khususnya di media sosial tidak wajar diperbesarkan sehingga mengakibatkan perbahasan tidak sihat, sekali gus mengganggu hubungan sesama rakan.
Katanya, semua pemimpin yang berada dalam kerajaan perlu bersikap matang dan berhemah dalam mengulas sebarang isu, terutama melibatkan urusan dalaman parti lain.
“Perlu diingatkan kepada semua, khususnya mana-mana pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak masuk campur atau mempertikaikan urusan dalaman parti lain.
“Setiap parti mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memperkukuh perpaduan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya hari ini.
Di Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), meskipun Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin daripada DAP dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri.
Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, beliau menghormati kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam konvensyen, Sabtu lalu.
Katanya, ia merupakan urusan dalaman UMNO yang seharusnya dilihat dalam kerangka disiplin dan perjuangan parti, namun segala hala tuju tetap tertakluk kepada keputusan serta disiplin ditetapkan pimpinan tertinggi.
“Sebagai rakan seperjuangan, saya sentiasa menyokong perjuangan serta suara kebenaran yang dibawa, namun pada masa sama tidak boleh mengenepikan disiplin dan keputusan parti. Akhirnya, hala tuju UMNO tetap diputuskan oleh kepemimpinan tertinggi.
“Pendirian UMNO mengenai kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan juga telah ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bahawa parti akan terus kekal bersama kerajaan dan tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat melalui tindakan ‘menebuk atap’,” katanya. – UTUSAN










