UCSI-Gamuda hampir muktamad rundingan projek strategik - Utusan Malaysia

UCSI-Gamuda hampir muktamad rundingan projek strategik

PETER Ng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan UCSI kini dalam peringkat akhir rundingan bagi projek pembangunan strategik bersama pemaju hartanah, Gamuda, yang dijangka dimuktamadkan sekitar Februari ini. 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif UCSI Group, Datuk Peter Ng berkata, kerjasama sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan kumpulan itu adalah antara pemangkin utama kepada fasa pertumbuhan baharu UCSI, khususnya dalam pengukuhan ekosistem pendidikan, perubatan dan pembangunan bersepadu.

Katanya, UCSI berada pada landasan yang baik untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dan memperkukuh kedudukannya sebagai kumpulan pendidikan dan perubatan bersepadu terkemuka di Malaysia.

“Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan peluasan jangka panjang kumpulan yang disusun secara berperingkat dan berdisiplin, selari dengan prestasi kewangan yang semakin kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, UCSI merancang untuk mengumumkan sekurang-kurangnya satu perkembangan atau pelaburan utama pada setiap bulan, mencerminkan momentum pertumbuhan yang konsisten dan mampan.

“Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi turut menyokong pembinaan ekosistem pendidikan dan perubatan yang lebih menyeluruh, termasuk penyelidikan, latihan serta perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya.

Jelasnya, kumpulan kini berada pada kedudukan kewangan yang lebih stabil berbanding beberapa tahun lalu, didorong oleh peningkatan keuntungan kumpulan dan prestasi positif hospital universitinya. 

“Kejayaan mencapai keuntungan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dalam tempoh lebih singkat daripada purata industri telah memberi ruang kepada kumpulan untuk melaksanakan pelaburan strategik berskala besar tanpa menjejaskan disiplin kewangan,” katanya. 

Selain peluasan projek, UCSI turut memperkukuh struktur kepimpinan dan modal insan apabila berjaya menarik penyertaan tokoh-tokoh korporat dan profesional berprofil tinggi termasuk Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Presiden dan Naib Canselor UCSI University, Prof Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Selain itu, Konsultan Neurosurgeri, UCSI Hospital, Dr. Ramani Thiagarajah dan Pakar Perunding Residen Bedah Kardiotorasik, Hospital UCSI, Datuk Dr. Tang Teik Yew.

Penyertaan ini dilihat memperluas rangkaian strategik serta memperkukuh tadbir urus kumpulan.

Dari sudut akademik dan penyelidikan, Universiti UCSI terus meningkatkan daya saingnya di peringkat antarabangsa dengan menarik penyelidik dalam kelompok satu hingga dua peratus terbaik dunia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan reputasi dan kedudukan global universiti. 

Sementara itu, Peter berkata, dalam sektor perubatan, UCSI semakin agresif memperluas operasi hospital universitinya.

“Sebuah pusat penyakit berskala besar sedang dibangunkan di Springhill dan dijangka siap pada Ogos tahun ini. Hospital tersebut bakal mempunyai kapasiti sehingga 1,000 katil, lengkap dengan laluan khas bagi penyakit berjangkit, onkologi serta rawatan khusus lain.

“Ini adalah hospital universiti, bukan sekadar hospital swasta. Penyelidikan adalah teras utama kami dan kami mahu sentiasa berada di hadapan dalam inovasi perubatan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN