PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperketat kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara sejajar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tanpa menjejaskan kelancaran pergerakan pelancong.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS) akan ditugaskan bagi memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan negara.
Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada keseimbangan antara kelancaran pergerakan pelancong dan aspek keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi.
“Kita perlu tingkatkan kutipan hasil bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebab elemen itu ada dalam elemen AKPS juga,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu KDN 2026 di sini, hari ini.
Katanya, fungsi utama kutipan hasil masih di bawah bidang kuasa JKDM, namun komponen pemeriksaan, taksiran dan pembayaran juga berada di bawah bidang kuasa AKPS.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan akan melengkapkan pemasangan sistem autogate di pintu masuk utama negara bagi meningkatkan kelancaran pemeriksaan imigresen serta tahap keselamatan.
Pemasangan berkenaan melibatkan lokasi strategik termasuk KLIA Terminal 1 dan 2, Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Sarawak. – UTUSAN










