KULIM: Seorang lelaki dan dua kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Sungai Kob, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang belum disahkan identiti meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.09 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan didapati melibatkan kereta jenis Proton S70 dan Perodua Viva yang dipercayai bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan. Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Viva iaitu seorang lelaki yang merupakan pemandu dan dua kanak-kanak,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dua kanak-kanak terbabit dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam, manakala pemandu yang tersepit dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM), namun pemandu Proton S70 sempat keluar dari kenderaan tersebut yang terbakar selepas kejadian.
“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Kulim menggunakan ambulans. Kereta yang terbakar telah dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kulim,” katanya. – UTUSAN










