IPOH: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Isma Izzuan Ismail, 22; Mohamad Nazran Ibrahim, 23, dan Mohamad Firdaus Khan Ismel Khan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Isma Izzuan dan Mohamad Nazran didakwa telah melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun 10 bulan dalam sebuah bilik di rumah sewa di Taman Pusing Permai, Batu Gajah pada pukul 9 dan 9.30 malam, 7 Januari 2026.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimun 30 tahun.
Dalam prosiding itu, Isma Izzuan juga didakwa bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi sama antara pukul 9 hingga 10 malam pada 7 Januari 2026 dan dalam sebuah kereta Proton Saga di kawasan Batu Gajah, antara pukul 12 hingga 2 pagi, 9 Januari 2026.
Mohamad Nazran turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dalam sebuah kereta Toyota Vios di kawasan Batu Gajah antara pukul 9 hingga 10 malam, 9 Januari 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala Isma Izzuan diwakili peguam bela, Aliff Aiman Rusli dan Mohamad Nazran pula diwakili Canice Chan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Nor Arfahanim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada awal bulan.
Bagaimanapun, kedua-dua peguam yang mewakili Isma Izzuan dan Mohamad Nazran memohon jumlah jaminan minuman pada kadar RM4,000 dengan alasan tertuduh perlu menanggung keluarga dan isteri dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,800 dan RM2,000.
Mahkamah membenarkan Isma Izzuan dan Mohamad Nazran masing-masing diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Di mahkamah sama, seorang lagi kenalan dua tertuduh iaitu Mohamad Firdaus Khan Ismel Khan, 22, turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam sebuah bilik di rumah sewa di Taman Pusing Permai, Batu Gajah pada pukul 9 hingga 10 malam, 7 Januari 2026.
Nor Arfahanim mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan terhadap lelaki itu dengan syarat tambahan namun tertuduh yang diwakili peguam bela, Baldip Singh memohon jumlah jaminan pada kadar RM4,000 dengan alasan anak guamnya bekerja di kedai milik bapa dan memperoleh pendapatan yang sederhana.
Hakim Jean Sharmila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Mac 2026. – UTUSAN










