Tiga jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia digabung

Tiga jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia digabung

R. Ramanan mengadakan lawatan kerja ke JTKSM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) digabungkan berkaitan perburuhan sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula bagi memperkemas dasar serta proses dan prosedur kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penggabungan itu melibatkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan yang ketika ini beroperasi secara berasingan, walaupun menangani isu dalam rantaian sama.

“Kita telah bincangkan bahawa tiga jabatan akan digabungkan sekali, jadi akan ada penstrukturan semula, nama (jabatan) mungkin kita boleh bincang untuk cari satu nama yang sesuai untuk diberikan kelak,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke JTKSM di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, antara asas kepada penggabungan tersebut adalah untuk menyatukan fungsi yang saling berkait agar urusan berkaitan perburuhan dapat ditangani secara lebih bersepadu.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, sebuah Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu (SPPB) yang menggunakan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) akan dibangunkan bagi menggantikan kaedah perekodan data sedia ada yang telah berusia lebih 20 tahun.

Jelasnya, SPPB akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2028 dengan peruntukan lebih RM9.2 juta yang akan meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pemain industri.

Selain itu, katanya, KESUMA akan terus menekankan aspek pendidikan dan kesedaran melalui program pendidikan perburuhan bagi meningkatkan pengetahuan pekerja, majikan dan pemegang taruh berkaitan hak, tanggungjawab serta pematuhan kepada undang-undang perburuhan negara.

“Sebanyak 222 program pendidikan perburuhan dijalankan sepanjang tahun lalu dengan penyertaan majikan, pekerja dan kesatuan sekerja seramai 45,821 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN