PUCHONG: Pemuda UMNO diingatkan supaya tidak mengambil jalan singkat apabila berdepan dengan kritikan dan perbezaan pendapat yang dilontarkan terhadap idealisme mereka.
Pada masa sama, Pemuda UMNO perlu memegang idealisme berbeza tetapi harus menangani perbezaan pendapat itu dengan penjelasan bukannya tindakan lain.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan mereka membawa idealisme berbeza daripada pimpinan parti ketika itu.
Katanya, secara umumnya, Pemuda perlu ada idealisme namun soal pandangan itu diterima atau tidak ia harus tetap diperjuangkan dengan kaedah-kaedah tertentu untuk disantuni dan didepani.
“Kita kerap komen dan kritik orang apabila orang kritik semula kenalah terima. Kenapa (apabila) orang kritik, kita kata orang itu tak demokratik tak terima hakikat, tapi apabila kita kena kritik semula atau orang tidak setuju, kita mahu cari jalan singkat, jangan begitu.
“Ini perjuangan politik dan kita terima bahawa dalam politik ini bukan semua orang setuju dengan kita, jadi kalau tidak bersetuju tangani ketidaksetujuan itu dengan penjelasan bukan dengan tindakan-tindakan yang lain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang memberi bayangan untuk berundur daripada jawatannya semalam.
Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri pernah bercanggah pendapat dengan pimpinan parti ketika memegang jawatan tersebut bahkan pernah tersungkur akibat perbezaan tersebut.
“Saya pun pernah terlanggar gunung, saya juga pernah terpijak kulit pisang dan tersungkur tapi ketersungkuran itu tidak menyebabkan kita tidak boleh bangun semula namun apa pun asalkan misai tidak mencecah bumi kita tetap bangun,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan menerima jika Dr. Muhamad Akmal benar-benar mengundurkan diri, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak memikirkan perkara itu.
Semalam, media melaporkan, hantaran terbaharu Dr. Muhamad Akmal di media sosialnya kembali mencetuskan tanda tanya apabila membayangkan sudah tiba masanya untuk beliau mengundurkan diri.
Kenyataan itu hadir selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung pada Isnin lalu.
Dr. Muhamad Akmal beberapa hari lalu mengadakan Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang antara lain bersetuju supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Desakan itu namun ditolak oleh kepimpinan tinggi UMNO yang mahu parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal. – UTUSAN










