Tidak tahu pakai AI, hanya dimaklumkan imej janaan komputer – Anna Jobling

Tidak tahu pakai AI, hanya dimaklumkan imej janaan komputer – Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM masuk panggung, filem sekuel, Duyung: Legenda Aurora, sudahpun menjadi bahan bualan warga maya baik dari poster hingga kostumnya yang dianggap tidak mencapai standard dibanggakan.

Terbaharu, nakshah itu mengejutkan penonton awal apabila turut memaparkan penggunaan kecerdasan buatan janaan (AI) dalam beberapa adegan filem ini. Pengarahnya, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Razak Mohaideen tidak menafikan perkara tersebut namun menegaskan hanya menggunakan dua peratus sahaja penggunaan AI dalam sekuel filem yang pernah menjadi ikonik itu.

Pelakon utamanya, Anna Jobling, bagaimanapun tidak mengetahui perkara tersebut namun pernah dimaklumkan bahawa pihak produksi bakal menggunakan imej janaan komputer (CGI) untuk menampilkan penggunaan kostum yang lebih realistik.

“Berkenaan penggunaan AI, kena tanya Prof (Razak Mohaideen) sebab saya tak tahu sangat. Tambahan pula ini kali pertama saya menonton filem ini. Cuma saya diberitahu akan guna CGI.

“Semasa penggambaran, kostum duyung tu agak ke bawah sedikit, jadi kita kena tutup satukan dengan kulit demi menjaga sensitiviti,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di sesi sidang media, Duyung: Legenda Aurora, baru-baru ini.

Bercakap mengenai kostum pula, cerita Anna, semasa penggambaran filem pertama Duyung yang dibintangi Maya Karin, produksi mengambil masa enam jam untuk mengenakan kostum. Bagi pihak produksi, perkara itu menyukarkan penggambaran membuatkan mereka tampil dengan kostum yang lebih mudah dipakai.

Bahkan, kerana kostum yang terlalu berat dan sukar ditanggalkan, pelakon, Maya Karin pernah hampir lemas semasa penggambaran.

“Oleh itu kali ini mereka mahukan kostum yang lebih mudah nak dipakai. Walaupun begitu, saya mengakui tidak mudah apalagi kostum yang melekat dan berat apabila basah.

“Bagaimanapun kostum yang anda lihat di dalam filem adalah yang sudah ditukar. Kostum pertama saya tak ingat material apa namun sukar untuk berenang. Mereka terpaksa tukar kepada kostum baharu dan semestinya saya juga tiada kuasa untuk tentukan kostum. Ia adalah keputusan produksi dan pengarah,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman menyandang karakter Aurora, pemenang trofi Outstanding Asian Star, Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 itu perlu menjaga pertuturan agar selari dengan nada duyung yang dibayangkan pengarah.

“Aurora bukan manusia, jadi sebagai Duyung dia ada cara bercakap yang berbeza. Dia cakap satu per satu sebab baru belajar bahasa Melayu. Begitu juga dengan caranya bergerak, sedikit pelik.

“Apapun, saya bersyukur kerana pengalaman menjadi perenang negeri membuatkan saya terbiasa untuk berlama-lama di dalam air. Disiplin semasa latihan datang balik dan saya ambil peluang ini untuk menikmatinya.

“Nanti kalau anda lihat ada syot saya berenan bersama penyu, itu semua betul-betul tau. Bukan AI mahupun CGI. Saya menyelam, tahan nafas sambil jurukamera ikut,” katanya.

Diterbitkan oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi itu menemui penonton di pawagam seluruh negara 25 Disember lalu.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon asal seperti Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani dan Yassin Yahya, selain diserikan dengan kehadiran pelakon baharu Ayie Floor88 termsuk Datuk Yusry Abdul Halim.

serta kumpulan Zero yang dianggotai Syaiful, Sharif dan Atu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN