Tiada DAP syarat Pas sertai Rumah Bangsa

Tiada DAP syarat Pas sertai Rumah Bangsa

AWANG HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas bersedia bekerjasama atas nama penyatuan ummah dengan UMNO di bawah konsep Rumah Bangsa namun meletakkan syarat utama kerjasama itu ialah tidak melibatkan DAP.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, gagasan yang dibawa UMNO itu bukan perkara baharu kerana Pas sejak sekian lama mengemukakan cadangan sama demi penyatuan umat Islam.

Katanya, Pas terbuka untuk menilai konsep Rumah Bangsa berkenaan termasuk syarat dan hala tujunya, selagi ia benar-benar menjurus kepada agenda penyatuan.

“Kita perlu melihat bagaimana konsep rumah besar yang disebut itu, apa syaratnya kerana Pas memang tidak menolak usaha penyatuan umat. Malah, idea ini telah lama kita perjuangkan, sebab itu tertubuhnya Muafakat Nasional dan sebagainya.

“Jika Rumah Bangsa ini dibentuk tanpa DAP, penyatuan tersebut berpotensi untuk bergerak lebih jauh demi masa depan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, UMNO mencadangkan satu pembentukan kolaborasi agung bagi menyatukan seluruh parti politik Melayu-Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, kerjasama agung parti politik Melayu-Islam itu tidak berhasrat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beberapa Gabungan Bukan Kerajaan (NGO) turut menyambut baik usaha tersebut dan menyifatkan ia sebagai langkah terbaik dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Presiden Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, cadangan tersebut perlu lebih diperhalusi supaya agenda tersebut tidak menjurus ke arah kepentingan politik semata-mata.

“Semua rakyat setuju isu penyatuan Melayu. Persoalannya bagaimana? Bagi menjadikannya realiti, pihak ketiga perlu jadi pengerusi, bukan mana-mana parti dan ia juga perlu terbuka kepada NGO serta individu untuk bersama-sama dalam Rumah Bangsa ini,” katanya.

Malah katanya, agenda tersebut akan lebih berjaya jika ke semua bangsa Melayu dari pelbagai latar belakang terlibat dan mewujudkan kesatuan melangkaui parti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN