Thailand cadang buka semula laluan rel Sg Golok-Rantau Panjang

Thailand cadang buka semula laluan rel Sungai Golok-Rantau Panjang

PATTAPHONG-BOONKAEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT, Thailand: Kerajaan Thailand sedia mengemukakan cadangan bagi membuka semula laluan kereta api Sungai Golok–Rantau Panjang sebagai usaha memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara Malaysia serta negara berkenaan.

Jurutera Penyelia, Bahagian Penambahbaikan Landasan Zon 1 SRT, Pattaphong Boonkaew berkata, langkah itu seiring de­ngan rancangan SRT untuk membina landasan berkembar dari Hat Yai ke Sungai Golok sepanjang 215 kilometer.

Katanya, pembinaan landasan kedua dari Hat Yai ke Sungai Golok itu dianggarkan menelan belanja sehingga 44.9 bilion baht (RM5.8 bilion) dan dijangka mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

“SRT mendapat tahu bahawa Kerajaan Malaysia menerusi Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membaik pulih dan membuka semula landasan kereta api di Rantau Panjang yang bersempadan dengan Sungai Golok, Thailand.

“Kami akan berbincang de­ngan KTMB untuk membuka semula landasan merentasi Sungai Golok bagi membolehkan perkhid­matan kereta api terus dari Malaysia ke Thailand. Landasan dahulu ditu­tup puluhan tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pattaphong berkata, ketika ini landasan antarabangsa yang bersambung antara Malaysia ke Thailand iaitu di Padang Besar melibatkan Perlis-Hat Yai-Bangkok.

“Jadi SRT akan mencadangkan landasan kereta api persahabatan Malaysia dan Thailand di Sungai Golok dibuka semula bagi perkhid­matan Rantau Panjang-Sungai Golok-Hat Yai.

“Pembinaan landasan berkembar itu bertujuan mengubah sistem pengangkutan dan meng­hubungkan ekonomi Thailand-Malaysia, khususnya dari segi kemasukan pelancong,” ujarnya.

Pattaphong berkata, pada masa sama, projek itu bertujuan meng­hubungkan empat wilayah sempadan selatan iaitu Songkhla, Pattani, Yala, dan Narathiwat dengan Malaysia merangkumi 13 daerah dan 53 mukim, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi serta pelancongan.

“Projek ini adalah bahagian penting yang menghubungkan keretapi landasan berkembar selatan sedia ada iaitu dari Surat Thani ke Hat Yai dan sistem kereta api Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×