Tekanan kewangan punca perceraian meningkat

Tekanan kewangan punca perceraian meningkat

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan kewangan, kegagalan persefahaman dan konflik rumah tangga yang berpanjangan dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan kadar perceraian di Malaysia sepanjang 2025.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kegagalan mengurus konflik rumah tangga khususnya berkaitan nafkah menjadi antara faktor dominan perceraian.

“Tekanan emosi akibat masalah kewangan, kecurangan, campur tangan pihak ketiga serta keganasan rumah tangga turut menyumbang kepada keretakan hubungan suami isteri.

“Golongan pasangan muda dalam tempoh perkahwinan lima hingga 10 tahun paling terkesan apabila berdepan masalah komunikasi, ketidakmatangan emosi dan kegagalan menyelesaikan pertikaian secara sihat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau mengulas statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata lapan kes perceraian bagi setiap 1,000 pasangan berkahwin telah direkodkan, sekali gus mencerminkan cabaran serius terhadap kestabilan institusi kekeluargaan negara.

Data tersebut menunjukkan Kadar Perceraian Am (GDR) meningkat kepada 7.9 bagi lelaki dan 8.1 bagi perempuan, berbanding 7.8 dan 8.0 pada tahun sebelumnya.

Musa berkata, proses perceraian lebih mudah tanpa kaunseling menyebabkan pasangan lebih memilih perpisahan sebagai jalan penyelesaian segera.

“Banyak kes cerai boleh diselesaikan dalam tempoh lima hingga enam bulan, namun ada yang selesai dalam sehari sekiranya melibatkan persetujuan bersama,” katanya.

Kata beliau, kebiasaannya proses penceraian mengambil masa lebih panjang kerana perlu melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Presiden Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia, Datuk Sheeda Romli berkata, kos sara hidup tinggi dan beban hutang menjadi pencetus utama konflik rumah tangga sepanjang tahun lalu.

“Pendapatan tidak stabil, ketiadaan perancangan kewangan dan tekanan ekonomi mencetuskan pertengkaran berpanjangan yang akhirnya membawa kepada perceraian,” katanya.

Menurutnya, walaupun media sosial sering dipersalahkan, namun faktor sebenar adalah kegagalan komunikasi dalam hubungan suami isteri.

“Kumpulan umur 30 hingga 40 tahun dengan tempoh perkahwinan lima hingga 10 tahun paling terdedah kepada perpisahan,” katanya.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, trend peningkatan perceraian jumlah kes meningkat kepada 60,457 kes pada 2024 berbanding 58,095 kes pada 2023.

“Peningkatan kadar perceraian bukan sekadar isu peribadi, sebaliknya mencerminkan cabaran sosial yang boleh menjejaskan kestabilan keluarga, kesejahteraan generasi muda serta pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN