LUMUT: Sebarang desakan mahupun cadangan oleh Pemuda UMNO agar parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, perlu terlebih dahulu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dipertimbangkan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu selari dengan pendekatan UMNO yang sentiasa mengutamakan perbincangan dan kematangan dalam membuat keputusan.
“Itu pandangan Pemuda (keluar daripada Kerajaan Perpaduan). Sepertimana yang disebutkan oleh Ketua Pemuda UMNO (Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh) semalam pun, apa juga pandangan akan diserahkan kepada MKT parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini hari ini.
Menurut Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), kepimpinan Pemuda UMNO sendiri sedia maklum bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti perlu dibuat dengan kematangan.
“Di dalam struktur UMNO seperti yang kita sedia maklum, dari segi suara yang mereka zahirkan itu tentunya akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ini kerana, proses membuat keputusan dalam konteks UMNO merupakan satu proses yang penuh dengan kematangan.
“Justeru itu, walaupun desakan dibuat, Dr. Akmal juga sedar bahawa apa pun keputusan akan diserahkan kepada MKT UMNO,” katanya.
Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal menggesa UMNO menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan serta mencadangkan supaya Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini membabitkan kerjasama politik parti itu dengan Pas dihidupkan semula.
Malah, beliau sebelum ini juga dilaporkan menggesa UMNO keluar daripada Kerajaan Persekutuan susulan kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin daripada DAP, berkait Datuk Seri Najib Razak yang kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang. – UTUSAN










