Tan Sri, wanita ditahan kes seleweng pelaburan RM300 juta

Tan Sri, wanita ditahan kes seleweng pelaburan RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Tan Sri dan seorang wanita kerana disyaki menyeleweng duit pelaburan berjumlah hampir RM300 juta.

Kedua-dua individu berkenaan ditahan selepas SPRM melakukan operasi ke atas lima premis sekitar Lembah Klang pada 21 dan 22 Januari lalu.

Menurut sumber,  siasatan awal mendapati hampir RM300 juta telah berjaya dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan ke atas dua buah syarikat antara tahun 2021 hingga 2024.

“Namun, semakan menunjukkan duit yang dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur,” katanya di sini hari ini.

Sumber itu memaklumkan, siasatan turut mendapati Tan Sri berkenaan menggunakan kedudukan serta pengaruh beliau untuk menarik minat dan meyakinkan pelabur untuk melabur.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa siasatan kini menumpukan kepada jejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan (recovery).

Kata beliau, siasatan turut melibatkan kepakaran Bahagian Analisa Kewangan SPRM dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM.

“Setakat ini, sebanyak 14 akaun individu dan syarikat telah dibekukan.  SPRM masih menunggu maklum balas pihak bank berhubung baki akaun-akaun berkenaan dan menjangkakan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses menjejak aliran wang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menegaskan, SPRM komited melaksanakan siasatan dengan profesional dan tegas memandangkan kes melibatkan jumlah wang yang besar serta berkepentingan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN