Tambang ECRL diumumkan lebih awal

Tambang ECRL diumumkan lebih awal

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) semasa meninjau Stesen Pembinaan Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tunjung, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diumumkan lebih awal sebelum pengoperasian penuh sistem pengangkutan darat itu yang dijangka bermula Januari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, setakat ini perkara itu belum dibincangkan lagi kerana perlu melalui proses kajian pasaran terlebih dahulu dan tertakluk kepada kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sekarang fokus pihak kita adalah untuk memastikan kerja-kerja pembinaan dan pemasangan siap sepenuhnya,” katanya pada sidang media semasa melawat dan melihat perkembangan pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, di sini hari ini.

Anthony Loke memberitahu, projek berkenaan perlu dipastikan siap mengikut jadual serta lulus ujian serta pentauliahan daripada APAD manakala sebarang penetapan tambang tidak akan bermakna sekiranya sistem pengangkutan itu tidak boleh beroperasi.

Dalam perkembangan sama, Anthony Loke berkata, sebanyak 11 set keretapi yang setiap satu set mempunyai enam gerabak, bakal diterima oleh pihak ECRL dan akan tiba di Kuantan, Pahang dalam masa dua minggu lagi.

Katanya, setiap set akan melalui ujian dan pentauliahan secara menyeluruh dalam tempoh enam bulan bermula Jun hingga Disember ini bagi memastikan sistem ECRL dapat berfungsi dengan lancar serta selamat.

“Apabila memasuki fasa berkenaan, bermacam-macam ujian dan pentauliahan bakal dibuat untuk memastikan sistem ECRL ini stabil dan selamat untuk kegunaan orang ramai” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN