IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) 2026 di sini malam tadi.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam majlis itu, Ismail Mohamed Yusoff yang juga seorang arkitek dimasyhurkan sebagai Presiden kelab ke-39 menggantikan Muhammad Hamzah Md Hamdan.
Ismail ialah seorang arkitek profesional yang berpengalaman luas dalam bidang seni bina.
Beliau telah berjaya menyiapkan pelbagai projek berprestij antaranya pengubahsuaian Balai Rong Seri, Istana Iskandariah; pembinaan Istana Kuning atau Istana Kenangan; Velodrom Rakyat; Menara Jam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kompleks Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Selain itu, usaha seni bina Ismail turut menyaksikan kejayaan menyiapkan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2016 dan Masjid Toh Puan Besar Hatijah pada tahun 2014, di samping menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Pusat Akuatik Tuanku Zara pada tahun 2018.
Sementara itu, Ismail dalam ucapannya berkata, memperkukuhkan integrasi kaum melalui penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai latar belakang di negeri ini merupakan misi yang digalasnya untuk KBGK.
Katanya, penglibatan pelbagai NGO itu akan mewujudkan satu entiti yang kukuh dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Misi kami di KBGK ialah mencari rakan strategik sebagai pemangkin kepada pembukaan ruang visi ke hadapan melalui perkongsian kekuatan serta teknologi bagi mencapai matlamat bersatu dan berbakti demi negara.
“Bagi mencapai hasrat itu, KBGK telah menjemput beberapa rakan strategik untuk berkerjasama dalam program kemasyarakatan agar impaknya lebih besar selain liputan kerja kebajikan yang lebih luas,” katanya.
Menurut beliau, bagi menangani krisis kemasyarakatan dalam pendidikan, KBGK juga akan mewujudkan program kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan mengambil Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana di Bandar Baru Seri Iskandar sebagai Sekolah angkat KBGK.
“KBGK akan terus memberikan pelajar platform pendedahan seperti apa yang telah disajikan pada program malam ini.
“KBGK percaya bahawa pendedahan kepada pelbagai seni warisan budaya dan bangsa akan membentuk pelajar yang beradab, berjati diri kukuh serta memiliki nilai murni dalam menghargai negara dan bangsa sejak di peringkat sekolah rendah lagi,” katanya. – UTUSAN










