Sudah bosan imej sama, Emma Maembong berambut pendek pula - Utusan Malaysia

Sudah bosan imej sama, Emma Maembong berambut pendek pula

KUALA LUMPUR, 21 JANUARI 2026 - Sesi fotografi bersama selebriti, Emma Maembong ketika pelancaran Jwanjih Drama 2026 di TGV KLCC di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penampilan terbaharu pelakon Emma Maembong dengan imej berambut pendek nyata mencuri perhatian ramai ketika pelancaran kempen Ramadan Raya 2026 (RR2026): Jwanjih Drama, baru-baru ini.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 33, berkata perubahan penampilan tersebut dilakukan atas dasar profesionalisme demi menjayakan watak dalam drama terbaharunya, Kerana Cinta Itu Dusta.

Menurutnya, sebagai seorang pelakon, dia mahu keluar daripada kepompong imej lama dan berani melakukan kelainan agar tidak terus terperangkap dalam acuan watak yang sama.

“Sebagai pelakon, saya sudah bosan dengan imej yang sama. Apabila pihak produksi bertanya sama ada saya sanggup mengubah penampilan demi watak ini, saya terus bersetuju.

“Bagi saya, inilah kepuasan sebenar sebagai anak seni. Kita perlu tampil dengan kelainan supaya penonton tidak melihat kita dalam satu bentuk sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, dia tidak berasa ragu-ragu untuk memotong rambut pendek kerana yakin penampilan tersebut mampu mengukuhkan lagi karakter yang dibawanya dalam drama berkenaan.

Malah, Emma menganggap perubahan fizikal sedemikian bukanlah satu pengorbanan besar, apatah lagi ia bersifat sementara.

“Tiada masalah kerana rambut boleh tumbuh semula. Yang lebih penting ialah bagaimana kita menghidupkan watak itu dengan berkesan.

“Saya memang menantikan peluang untuk melakukan perubahan sebegini kerana ia menguji kemampuan saya mempelbagaikan karakter dan imej dalam dunia lakonan,” ujarnya.

Drama bersiri 30 episod yang dijadualkan menemui penonton sepanjang Ramadan tahun hadapan itu turut menampilkan gandingan bersama Azira Shafinaz serta pelakon baharu, Jazmy Juma.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Emma menyifatkan pengalaman bergandingan buat kali pertama bersama kedua-dua pelakon itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana masing-masing memiliki aura tersendiri.

Dalam naskhah berkenaan, drama tersebut membawakan persoalan kehidupan seorang pempengaruh media sosial yang sering menampilkan kehidupan sempurna di media sosial, namun hakikatnya berdepan pelbagai konflik dalaman yang mencabar emosi serta realiti kehidupannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN