Sumbangan Tunai Rahmah disalurkan mula hari ini

Sumbangan Tunai Rahmah disalurkan mula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu bagi 2026 mula disalurkan hari ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, bantuan itu memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tiada pasangan dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Katanya, kerajaan menyusun semula pelaksanaan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini bagi memastikan bantuan dapat bantuan ST secara lebih berkesan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Pendekatan ini menjadikan SARA sebagai bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan, manakala STR pula disalurkan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

STR disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan dengan pendapatan bulanan RM5,000 ke bawah, termasuk golongan miskin serta miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.

MoF berkata, pendekatan bersepadu itu memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur dan stabil, selain memberi ruang sokongan kewangan tambahan pada tempoh keperluan tinggi seperti musim perayaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, kekal sebagai yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, pelaksanaan bantuan berkenaan selari dengan Kerangka Ekonomi Madani yang menekankan usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat agar keperluan asas dapat dipenuhi.

Bagi mengurangkan risiko keciciran penerima, MoF berkata, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my.

Menurutnya, setiap permohonan akan melalui proses semakan dan verifikasi bersama pelbagai agensi kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon, termasuk semakan pendapatan dan pemilikan aset.

MoF turut mengingatkan pemohon agar mengemukakan maklumat yang tepat dan benar kerana tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati berlaku pemalsuan maklumat.

Dalam pada itu, penerima STR dinasihatkan supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan kerana kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN