Steven Sim sumbang RM50,000 bantu bayi pramatang dirawat di Jepun

Steven Sim sumbang RM50,000 bantu bayi pramatang dirawat di Jepun

STEVEN Sim Chee Keong (kiri) bertemu dengan bapa kepada bayi pramatang yang sedang dirawat di Jepun iaitu Liang Chee Liang (tengah) dan Chua Sui Hau di pejabat One Hope Charity and Welfare di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Prihatin dengan nasib seorang bayi perempuan berusia 22 minggu yang dilahirkan secara pramatang dan kini sedang dirawat di sebuah hospital di Jepun, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong tampil menghulurkan sumbangan awal berjumlah RM50,000 kepada bapa bayi tersebut, semalam.

Steven yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau terbaca kisah bayi malang itu yang diberi nama Alexis Liang Xi Yue di dada akhbar dan terus menghubungi kawan baiknya iaitu pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau untuk menawarkan bantuan.

Katanya, beliau diberitahu bahawa kisah tersebut bermula apabila ibu serta bapa bayi berkenaan iaitu Chan Luen Chiag, 29, dan Liang Chee Liang, 32, memilih untuk berbulan madu ke Jepun selepas lama menabung untuk tujuan itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, setibanya di negara Matahari Terbit itu, si ibu tiba-tiba mengalami pendarahan yang serius dan Alexis terpaksa dilahirkan jauh lebih awal daripada yang sepatutnya dengan berat hanya sekitar 480 gram sahaja.

Jelas Steven, bayi berkenaan juga perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), sebuah hospital di Tokyo, Jepun sehingga memaksa kedua ibu bapanya pulang terlebih dahulu ke tanah air.

“Baru-baru ini juga, One Hope Charity telah menaja ibu bayi tersebut untuk ke Jepun, supaya ‘baby’ Alexis dapat merasai kehadiran ibunya di sisi serta menerima bekalan susu ibu sepanjang tempoh rawatan.

“Menurut doktor pula, jumlah keseluruhan kos perubatan yang diperlukan dianggarkan sekitar RM1.5 juta dan jumlah ini sangat-sangat tinggi untuk ibu bapa yang muda ini.

“Sumbangan saya hanyalah satu permulaan dan saya ingin mengajak orang ramai, khususnya mereka yang berkemampuan, untuk bersama menghulurkan bantuan walau sekecil mana pun demi membantu ‘baby’ Alexis dan keluarganya dalam melalui saat yang paling mencabar dalam hidup mereka ketika ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Tambah Steven, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada bayi tersebut boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi One Hope Charity atau menghubungi talian ‘hotline’ di 016-4192 192, 019-2322 192, atau 04-539 9212 untuk maklumat lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN